Sunday, 15 December 2013

Hati kita siapa tahu. :)

Assalamualaikum..

Hati.
Orang nampak kita senyum, tapi orang tak tahu kita senyum sebab apa.
Orang nampak kita gelak, tapi orang tak tahu dalam diam kita nangis.
Orang nampak kita sedih, orang anggap kita tagih simpati.
Orang nampak kita dandan, tapi orang tak tahu kita dandan untuk apa.
Ahhh, peduli apa orang kata.
Hati kita, siapa tahu.

Orang kata kita kejam, tapi orang tak tahu kenapa kita jadi begitu.
Orang kata kita lupa kawan, tapi orang tak tahu kita doakan dia hari-hari.
Orang kata kita tak ambil tahu, tak kisah, tapi orang tak tahu kita tanya orang lain tentang siapa.
Orang kata kita benci dia, tapi orang tak tahu hari-hari kita rindu dia, sayang dia.
Orang kata kita buta hati, tapi orang tak tahu kenapa kita buat begitu.
Aaah persetankan semua, orang menilai dengan apa yang mereka nampak, mereka dengar.
Tentang kebenaran, siapa peduli.
Hati kita, siapa tahu.

Yang menjaga hati ini, adalah aku.
Yang menemani diri ini, adalah aku.
Yang menjawab persoalan diri, adalah aku.
Yang memahami diri ini, adalah aku.

Mungkin kau tidak mengerti.
Mungkin kau tidak memahami.
Apa kau peduli.
Yang penting hati kau.
Hati aku, siapa tahu.
Tidak mengapa, aku tetap aku.
Jatuh bangun aku, aku adalah aku.
Siapa yang ada susah senang aku, terima kasih ku ucapkan.
Pada engkau yang sentiasa menilai aku.
Apa yang kau zahirkan, tiada kaitan denganku.
Yang penting, Dia.
Dia yang tahu ikhlasku, jujurku, sayangku.

Rambut kita sama hitam, Hati kita, siapa tahu. :)





Monday, 9 December 2013

Dirimu dan Kenangan. :')

Assalamualaikum...

          Salam sayang, hai semua. Its been long time since I wrote in this blog. 2 months of silence, being up and down, bright and dark, only God knew how it felt. So, hari ini, aku pilih untuk merajinkan jari jemari aku menari di atas keyboard cik lappy putih ini. Entry ini khas untuk seseorang dari kalangan keluarga aku sendiri. Semalam, aku dikejutkan dengan berita yang menyedihkan bahawa salah seorang bapa saudaraku telah pergi menyambut seruan Illahi. Arwah pergi ketika berumur 47 tahun dan meninggalkan seorang isteri berserta 3 orang anak yang masih bersekolah. Paling kecil masih lagi bersekolah rendah. anak yang kedua di tingkatan tiga dan yang sulung sedang menyambung pengajiannya dalam bidang kejururawatan(kalau tak salah aku). 

          Selepas mendapat berita yang menyedihkan ni dari family aku, aku terus jadi kaku, dan membisu. aku buntu sebab terkejut dengan apa yang aku dengar dan rasa tak percaya. Aku hanya mampu menangis, dan berdoa kepada Allah dan berharap ini hanya sekadar mimpi. Namun sekuat mana pun aku menolak, ianya adalah satu kenyataan yang terpaksa aku terima. Aku bergerak pulang ke Segamat, Johor bersama sepupu aku yang lain. Jauh jugak perjalanan kami dan sepanjang perjalanan aku terbayang wajah arwah,gelagat arwah, ketawanya dan karakter arwah yang selalu mencuit hati kami semua. 

         Kami sampai di Hospital Segamat kira-kira jam 11.30 malam. Pada waktu itu, aku mendapat panggilan dari kakak aku, yang jenazah telah siap di post mortem, dimandikan dan dikafankan. Ketika aku sampai di rumah mayat, jenazah telah di tolak masuk ke dalam van dan hendak di hantar pulang ke rumah. Aku tak mampu berkata apa, dan waktu itu aku cuma mampu memeluk erat mama dan kakak aku diiringi tangisan sayu. Pada waktu itu, aku sedar, ini bukanlah sekadar mimpi. Aku, kakak, dan abangku jalan bersama menuju ke tempat letak kereta. Sambil berjalan, aku dan kakak ku berpimpin tangan dan kami mengenang kembali memori yang pernah kami lalui bersama arwah. Sebaknya dada pada waktu itu, Tuhan saja yang mengerti. Teringat kembali, waktu kecil dulu, arwah rajin melayan kami bermain injit-injit semut, gelek-gelek telur dan banyak lagi. Hehehe. Seperti yang aku cakapkan, arwah seorang yang mesra.

           Sepanjang malam, aku tak mampu melelapkan mata dan hanya mampu merenung jenazah berharap ini hanya mimpi. Berharap arwah bangun dari tidur. Namun, aku tahu aku terpaksa merelakan pemergiannya. Aku tak sanggup melihat wajah anak-anak arwah. Sayu hati, sedangkan aku ini yang hanya anak buah sahaja sudah merasa hiba sebegini, apatah lagi perasaan anak-anak serta isteri arwah. Aku tak sedar waktu bila aku terlelap dan aku terjaga bila kakak aku kejut dan waktu tu pukul 7 lebih.

          Selesai mandi, aku mengambil tempat duduk betul berhadapan dengan jenazah dan keadaan aku pada waktu itu tak membenarkan aku membaca surah yassin, aku hanya mampu berselawat dalam hati. Aku sempat menjengah melihat wajah arwah sewaktu mereka membuka kain yang menutupi wajah arwah. Wajahnya suci bersih, seolah-olah sedang lena dibuai mimpi. Sedihnya aku pada waktu itu. dan aku tahu, ini adalah kali terakhir aku dapat bersama arwah, sedih aku tak dapat ditanggung sedangkan ketika berselawat pun airmata mengalir tak henti-henti. Mungkin kakak ku perasan, aku dapat merasakan hangat tangan kakak aku menyentuh dan menepuk tanganku. Aku mengerti maksudnya yang menyuruh aku bersabar dan bertenang. 

          Selepas solat jenazah, kain arwah dibuka untuk membolehkan keluarga terdekat melihat dan mencium wajah arwah buat kali terakhir. Saat ini, sedih aku tidak tertanggung melihat isteri, anak dan sanak saudara menciumi wajah arwah. Ya Allah, aku hanya mampu berdoa agar Kau berkatilah rohnya. Aku dapat melihat wajah arwah yang begitu tenang dan seakan mahu tersenyum. Persis wajah arwah datukku dahulu. Suasana sayu dan sepi serta cuaca yang redup mengiringi perjalanan arwah ke tanah perkuburan.

Paklang, dirimu, gelagatmu, senyummu, tawamu sentiasa bermain di fikiranku. walaupun tiada gambar untukku tatap setiap waktu, namun setiap kenangan bersama mu sentiasa ku terbayang. Ya Allah Ya Tuhanku, walaupun sukar untuk ku terima namun aku berterima kasih pada-Mu kerana telah menjemput bapa saudaraku pulang kepada-Mu dengan cara yang lembut. Aku redha. Tuhan Yang Maha Agung, Maha Esa, tempatkan la bapa saudaraku dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Cucuri lah rahmat ke atas rohnya. Terimalah segala amalannya dan ampunilah segala dosa-dosanya Ya Allah. Lindungilah isteri dan anak-anaknya. Berikanlah kekuatan kepada mereka untuk menempuh dugaan-Mu Ya Allah. Bukakanlah pintu rezeki buat mereka dan berilah keberkatan dalam hidup mereka. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Semoga dirimu tenang di sana, Paklang. Dirimu dan kenangan bersamamu sentiasa ku terbayang. 
Innalillahi Wainna Ilaihi Roji'uun.."dari Allah kita datang, kepada Dia kita kembali.."